DATUK Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin politik mengetuai agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan hari ini, Mohamad selaku Menteri KPKM melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Untuk rekod, ini kali kedua Muhammad Faiz mengetuai LKIM selepas yang memimpin agenai tersebut pada pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
KPKM turut melantik Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala Adun Behrang, Aminuddin Zulkipli dilantik mengetuai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah dari PKR, Dr Azman Ismail pula dilantik Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sheikh Umar Bagharid Ali yang juga pemimpin muda DAP dilantik Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan.
“Saya yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka dalam menerajui dan mengalas amanah serta tanggungjawab dalam menyokong dan memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Tahniah saya ucapkan pada semua yang dilantik,” kata Mohamad dalam kenyataan, hari ini.
Pelantikan itu berkuat kuasa mulai 15 Mei ini. – Malaysiapost