‘PAS-Bersatu akan berpisah kerana Tun M’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menjangkakan PAS dan Bersatu akan berpisah ‘angkara’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ diasaskan Dr Mahathir yang turut ditandatangi PAS baru-baru ini, tanpa kehadirian pemimpin tertinggi Bersatu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“PAS sign (tandatangan) proklamasi itu. Beberapa pemimpin Bersatu juga sign. Kenapa Muhyiddin dan Hamzah tidak sign?

“PAS-Umno berpisah kerana Muhyiddin. Kali ini PAS-Bersatu akan berpisah kerana Tun M,” tulisnya di Facebook.

Dalam masa sama, Mohd Puad menyifatkan tiada beza antara Kongres Maruah Melayu pada 2019 dan Proklamasi Orang Melayu 2023 kerana kedua duanya ditaja oleh Dr Mahathir.

Malah, beliau membidas tindakan Dr Mahathir yang didakwa tidak melakukan apa-apa untuk orang Melayu ketika berkuasa, sebaliknya hanya ‘bertindak’ ketika tidak berjawatan.

“Kongres Maruah Melayu diadakan ketika Dr Mahathir PM ke 7. Masa itu dia berkuasa.

“Apa dia buat? Banyak aset orang Melayu terjual termasuk aset Tabung Haji. Tahun 2023 dia tidak ada kuasa. Tetapi taja Proklamasi Orang Melayu pula.

“Masa berkuasa tidak buat apa. Masa tidak berkuasa nak buat apa? Masalahnya ada yang tidak serik-serik,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, media melaporkan beberapa pemimpin PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ diterajui Dr Mahathir.

Proklamasi itu menimbulkan beberapa spekulasi termasuk dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) bakal berpecah susulan pembabitan Ahli Parlimen PAS dengan proklamasi terbabit, selain ia didakwa usaha memancing undi Melayu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, PAS menafikan dakwaan pertemuan yang berlangsung antara Abdul Hadi dengan Dr Mahathir baru-baru ini sebagai langkah parti itu untuk meninggalkan Bersatu.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata ini kerana kerjasama dan hubungan antara dua parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) masih kuat. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights