TUNTUTAN RM1 juta terhadap bekas suami adalah jumlah yang wajar demi membayar pengorbanannya selama perkahwinan dan membesarkan anak, kata pelakon, Lufya Omar.
Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 38, berkata tuntutan terhadap Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum itu dapat membantunya meneruskan hidup bersama anak memandangkan kos sara hidup semakin tinggi.
Tuntutan Mut’ah itu katanya, bedasarkan kepada pengorbanan dan apa yang telah berlaku sepanjang perkahwinan.
“Dulu pendapatan saya kukuh. Selepas berkahwin, saya melepaskannya atas sebab-sebab tertentu. Untuk bangun balik ia memerlukan masa agak panjang.
“Jadi saya perlu merancang untuk kehidupan kami,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.
Lufya hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bersama peguam, Fakhrul Azman Abu Hasan bagi sebutan kes tuntutan Mut’ah.
Tambah pelakon berusia 38 tahun itu, walaupun telah tiga tahun tahun bercerai, dia akui baru sekarang bersedia untuk membuat tuntutan di mahkamah bagi mendapatkan pembelaan.
“Penceraian kami pun ambil masa agak panjang. Saya juga perlukan masa untuk buat persediaan mental dan fizikal.
“Pada masa sama, saya perlu membesarkan anak. Walaupun cuma seorang anak, ia bukan mudah dengan keadaan saya dahulunya seorang artis yang sangat aktif bekerja.
“Saya tak pernah minta apa-apa pun selama ini walaupun barang. Saya beri masa untuk Hafiz fokus memberi nafkah kepada anak. Saya pun nak stabilkan diri juga.
“Bila sudah difitnah, sebagai ibu tunggal saya mahu mendapatkan pembelaan. RM1 juta bukan nilai saya, tapi untuk keadilan,” katanya lagi.
Sementara itu Dr. Che Muhammad Hafiz tidak hadir ke mahkamah bagi sebutan kes dan perbicaraan bagi sebutan semula kes akan diadakan pada 26 Julai.
Pada 2 Mac lalu, Lufya memfailkan tuntutan Mut’ah bernilai RM1 juta terhadap bekas suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Lufya dan bekas suami mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura, 5, namun sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020. – Malaysiapost