UMNO kekal dengan semangat keluarga besar umpama ‘air dicincang tidak akan putus’ bagi merencana hala tuju dan memperjuangkan agenda parti.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu dapat dilihat melalui pertemuan dua tokoh besar Wanita Umno iaitu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan bekas ketua sayap itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
“Pagi ini mempertemukan dua tokoh besar wanita Umno iaitu Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
“Pertemuan itu bagi menyelaras gerak kerja bersama bagi memperkasakan lagi agenda Wanita terutamanya melalui Wanita Umno dan Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Majlis Kerja Tertinggi Umno,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Umno akan merencana pelbagai inisiatif untuk memperjuangkan pelbagai isu dan agenda Wanita di peringkat kebangsaan.
“Inilah semangat keluarga besar Umno pasca pemilihan parti bak kata pepatah ‘air dicincang tidak akan putus’.
“Bagaimana hangat sekalipun suasana pemilihan tempoh hari namun setelah selesai semuanya bertaut kembali sebagai satu keluarga dengan berkongsi aspirasi dan matlamat yang satu,” katanya.
Pada Pemilihan Umno Mac lalu, Noraini mengalahkan Shahrizat dengan memperoleh 106 undi daripada 189 bahagian, manakala Shahrizat memperoleh 70 undi.
Kemenangan Noraini itu sekali gus ‘mematahkan’ cubaan Shahrizat untuk kembali menerajui Ketua Wanita Umno selepas meletak jawatan pada 2018.
Shahrizat sebelum ini mengumumkan persaraan daripada arena politik pada 2018 iaitu selepas 11 tahun memimpin sayap wanita parti Melayu itu. – Malaysiapost