‘Tidak ada laporan yang kita ketepikan’ – KPN

POLIS akan meneliti laporan salah laku pegawai dan anggotanya yang didakwa tidak diambil tindakan seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata, Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah menyediakan laporan lengkap berkaitan isu berkenaan.

“Pada masa sama, kita sedang meneliti mana satu laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan bahawa integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan,” katanya.

Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan yang perlu diambil terhadap pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan tata tertib.

“Kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM, malah SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan-tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil.

“Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

“Kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan dengan 125 daripada laporan itu membabitkan anggota PDRM. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights