TUN Dr Mahathir Mohamad memuji sikap ramai orang Melayu sekarang memakai tanjak sebagai cara untuk menunjuk ke-Melayuan mereka.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, sikap berbangga dengan bangsa memang baik namun lebih baik jika mereka turut berbangga mengundi calon Melayu terbaik dalam pilihan raya.
“Alangkah baiknya jika selain tanjak, orang Melayu juga berbangga dengan mengundi dalam pilihan raya bagi calon Melayu yang terbaik supaya kerajaan yang akan didirikan oleh calon-calon yang menang dapat mendirikan kerajaan yang juga baik.
“Tidak mengundi atau mengundi kerana sogokan tidak menunjuk ke-Melayuan yang boleh dibanggakan, kerana hasilnya ialah pemerintahan oleh perasuah dan penjenayah.
“Pakailah tanjak tetapi undilah dan tentukan kemenangan bagi Melayu yang kuat ke-Melayuan mereka dan mampu mendiri kerajaan yang boleh kita bangga dengannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini Dr Mahathir menggerakkan program Proklamasi Orang Melayu yang turut ditandatangani PAS.
Baru-baru ini, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata walaupun Dr Mahathir mempunyai perselisihan dalam banyak perkara dengan PAS, namun kedua-dua pihak ada banyak titik persefahaman.
Presiden PAS itu berkata, titik persefahaman dengan bekas Perdana Menteri itu wajib diambilkira untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu. – Malaysiapost