Umno berusia 77 tahun esok

PERTUBUHAN Kebangsaan Melayu Bersatu atau parti yang lebih dikenali dengan nama Umno, bakal menyambut ulang tahun yang ke-77 esok.

Sambutan Ulang Tahun Umno ke-77 itu akan diadakan dengan majlis doa selamat di Surau Ar-Rahman, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkongsi atur cara sambutan berkenaan di laman sosialnya.

Berdasarkan atur cara yang dikongsikan beliau, sambutan dijadual bermula seawal jam 6.30 petang dengan ketibaan para jemputan sebelum ketibaan Presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri pada jam 7 malam.

“Sambutan dimulakan dengan menunaikan solat Maghrib serta bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat.

“Acara kemuncak adalah amanat daripada Presiden Umno, yang juga akan disiarkan secara langsung di platform Facebook Umno Online sebelum solat Isyak,” menurut atur cara berkenaan.

Mengakhiri sambutan ini, para tetamu yang hadir diraikan dengan jamuan makan malam bersama kepimpinan tertinggi parti di Auditorium Umno aras 4 WTCKL.

Difahamkan, sambutan itu juga akan diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli parti dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh pengasasnya Allahyarham Datuk Onn Jaafar. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights