111,604 kelahiran hidup direkodkan
LAPORAN Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menunjukkan kelahiran hidup di negara ini meningkat 8.9 peratus atau 111,604 kelahiran.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah kelahiran itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 102,466 kelahiran hidup direkodkan.
Beliau berkata, bagaimanapun statistik menunjukkan trend menurun berbanding suku tahun sebelum itu iaitu seramai 113,865 kelahiran hidup.
Menurutnya, kelahiran hidup bagi suku pertama tahun ini merekodkan bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 57,654 kelahiran berbanding 53,950 kelahiran bayi perempuan.
“Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran (18.9 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan Wilayah Persekutuan Labuan (361 kelahiran 0.3 peratus).
“Kumpulan umur ibu yang tertinggi direkodkan pada umur 30-39 tahun iaitu 57,491 (51.5 peratus), diikuti oleh umur 20-29 tahun (41.6 peratus), umur 40 tahun dan lebih (5.3 peratus) dan umur kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata, statistik kematian pula merekodkan sebanyak 47,767 kematian pada suku pertama 2023, menunjukkan penurunan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 54,123 kematian.
“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,357 orang, manakala wanita seramai 20,410 kematian.
“Pada tempoh sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,548 kematian (15.8 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 66 kematian (0.1 peratus).
“Bilangan kematian berumur 60 tahun dan lebih adalah tertinggi iaitu 33,687 kematian (70.5 peratus), diikuti oleh umur 41-59 tahun (19.9 peratus), umur 15-40 tahun (7.1 peratus) dan umur 0-14 tahun (2.5 peratus),” katanya.
Menurutnya, jumlah kematian disebabkan Covid-19 juga menurun sebanyak 97.3 peratus atau 3,457 kematian pada suku tahun pertama 2023 berbanding 3,553 kematian pada tempoh sama tahun lalu.
“Kematian disebabkan Covid-19 menyumbang 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku pertama tahun ini dengan Selangor merekodkan kematian akibat Covid-19 tertinggi (31 kematian), manakala tiada kematian direkodkan di Kelantan dan Labuan akibat Covid-19 bagi tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata, selain Malaysia negara-negara Asean lain juga turut menunjukkan penurunan bagi kematian disebabkan Covid-19 pada suku pertama tahun ini. – Malaysiapost