5G: ‘Kenapa bagi lesen kepada dua syarikat terpilih saja?’ – Wan Saiful

BEKAS Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa hanya akan memberi lesen kepada dua syarikat terpilih sahaja bagi menyediakan rangkaian kedua 5G di negara ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, berkata kerajaan dilapor mahu mengubah model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) yang digunapakai Digital Nasional Bhd (DNB) kepada dwirangkaian.

“Kerajaan mahu perkenalkan polisi di mana DNB akan ditamatkan dan rangkaian 5G akan diteruskan oleh dua syarikat swasta, yang mana salah satu dari mereka akan ambil alih DNB.

“Kononnya ini kerana kerajaan Anwar mahu wujudkan persaingan dan menghapuskan monopoli,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, Wan Saiful menyifatkan niat kerajaan untuk menghapuskan monopoli dan mewujudkan persaingan adalah baik, bagaimanapun kaedah Anwar itu didakwa jauh ‘melencong’.

“Kalau mahu wujudkan persaingan dan hapuskan monopoli, kenapa Anwar hanya nak ‘bagi lesen’ kepada dua syarikat yang terpilih saja?

“Persaingan memerlukan banyak pemberi perkhidmatan (provider). Memberi lesen 5G kepada dua syarikat yang ‘dititahkan’ Anwar bukan hapuskan monopoli, tapi ia hanya akan mengekalkan monopoli untuk dua syarikat terpilih yang direstui Anwar.

“Jika benar DNB adalah monopoli, paling tidak pun ia adalah monopoli milik rakyat melalui kerjasama antara kerajaan dan swasta. DNB jadi pemborong tunggal, dan semua syarikat swasta boleh dapat layanan yang sama rata atau ‘level playing field’.

“Tapi model Anwar akan mewujudkan duopoli sepenuhnya oleh dua taikun swasta yang terpilih. Mana kebaikan untuk rakyat?,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mempersolakan mengapa Anwar begitu tergesa-gesa mahu memasukkan syarikat swasta terpilih dalam projek mega berkenaan.

“Adakah wujud unsur kronisme? Anwar perlu jelaskan adakah wujud apa-apa ‘deal’ dengan mana-mana kroni taikun yang akan menguasai syarikat terpilih ini nanti?,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui entiti baharu yang akan diwujudkan awal tahun depan dan menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada dwirangkaian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata entiti baharu itu akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui DNB.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas melaksanakan penelitian menyeluruh mengenai impak kesan pelaksanaan 5G ketika ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights