Adakah Kelantan, T’ganu dan Kedah mundur kerana ditipu ‘perompak”

Adakah Kelantan, T’ganu dan Kedah mundur kerana ditipu ‘perompak”

LIM Kit Siang hari ini meneruskan ‘serangannya’ terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi entri terbaharu di blognya, veteran DAP itu mempersoal adakah pembangunan perlahan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah dalam tiga dekad sejak 1991 terjadi kerana negeri-negeri itu ditipu oleh perompak yang “memberi dan menerima rasuah”?

“Dalam serangan terkininya, Abdul Hadi menuduh orang Melayu sedang dipermain dan ditipu akibat kealpaan dan kejahilan mereka dan sedang menjadi mangsa politik negara, dibelenggu dengan rasuah, kemerosotan moral, dan perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.

“Dia mengutuk orang Melayu yang bekerjasama dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu yang dituduhnya sebagai “perompak terbesar” yang memberi dan menerima rasuah.

“Adakah ini sebabnya mengapa Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadi tiga negeri dengan kadar pembangunan paling perlahan dalam 30 tahun lalu, walaupun negeri-negeri ini dikawal oleh pada pada satu-satu masa — dan dalam kes Kelantan pula, sejak dari Pilihan Raya Umum 1990?,” katanya.

Tambah Kit Siang, semasa rancangan 30 tahun Wawasan 2020 dilancar pada 1991 untuk Malaysia menjadi satu negara maju, Terengganu berada di tempat kedua, Kedah ke-11, dan Kelantan berada di tempat terakhir dari segi KDNK per kapita.

Katanya, selepas 30 tahun pada 2020, Terengganu telah jatuh ke tempat ke-10, Kedah ke-13 dan Kelantan kekal terakhir dari segi KDNK per kapita negeri-negeri Malaysia.

Sehubungan itu, Kit Siang meminta Abdul Hadi memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

:Saya telah minta Hadi untuk menamakan “perompak-perompak” bukan Islam dan bukan Melayu yang telah memberi dan menerima rasuah, menipu orang Melayu dan orang Islam, selama setengah abad sejarah negara, terutamanya para “perompak” di Kelantan, Terengganu, dan Kedah,” katanya.

Semalam Kit Siang memberi tempoh 48 jam kepada Abdul Hadi untuk menamakan “perompak” bukan Islam dan bukan Melayu yang telah memberi dan menerima rasuah serta menipu hak orang Melayu dan Islam selama setengah abad ini.

Veteran DAP itu menyatakan demikian susulan kenyataan Presiden PAS itu yang menuduh orang bukan Islam dan bukan Melayu sebagai “perompak” yang memberi dan menerima rasuah.

“Sementara mencari jawapannya, bolehkah Hadi juga jelaskan mengapa 10 dari 20 negara yang paling korup dalam Indeks Persepsi Rasuah 2022 terbitan Transparency International yang meliputi 180 negara, adalah negara majoriti Muslim.

“….Sekiranya majoriti orang yang korup di Malaysia ini adalah orang bukan Islam dan bukan Bumiputera?,” soalnya menerusi tulisan di blognya. – Malaysiapost

Komen