Bukan ‘Tok Wan Bulu’ yang pandu Vios

Bukan ‘Tok Wan Bulu’ yang pandu Vios

KES kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta Toyota Vios milik keluarga sehingga terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga di Pulau Langkawi malam kelmarin, tiada kaitan dengan unsur mistik.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata berdasarkan keterangan kanak-kanak itu, dia didapati tahu cara memandu kereta dan turut mengetahui kedudukan gear.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta lebih kurang 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu, dikaitkan dengan unsur mistik.

Ia selepas rakaman audio perbualan suara kanak-kanak itu menceritakan kejadian tersebut kini tular di media sosial sejak malam tadi.

Berdasarkan rakaman audio tersebut, menurut kanak-kanak lelaki itu, bukan dia yang membawa kereta, sebaliknya kereta itu dipandu seorang lelaki dipanggil ‘Tok Wan’.

Menurutnya, ada beberapa lelaki lain iaitu ‘Tok Wan’, ‘Pak Lang’ dan ‘Pak Cik’ turut berada dalam kereta Toyota Vios itu yang mengajaknya untuk pergi bermain permainan video.

Berhasrat cerita kanak-kanak itu, individu yang dipanggil ‘tok wan’ menerusi ceritanya dikatakan tidak kacak, badan berbulu dan mempunyai suhu yang panas.

Semalam media melaporkan seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu kereta dengan membawa adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai di Langkawi sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu.

Polis berkata, kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan di dagu manakala adiknya tidak mengalami kecederaan.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa, hilang kawalan serta terbabas ke tepi jalan. – Malaysiapost

Komen