Hubungan Pas, Bersatu retak menanti belah – Ahmad Zahid

Hubungan Pas, Bersatu retak menanti belah – Ahmad Zahid

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan gabungan parti membentuk Perikatan Nasional (PN) yang kononnya memperjuangan Melayu dan Islam akan berpecah kerana sudah ada tanda-tanda keretakan sedang berlaku.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)  menyifatkan kerjasama parti-parti dalam gabungan itu, khususnya di antara Pas dan Bersatu sebagai ‘kahwin muta’ah’.

“Kita dengar perkahwinan muta’ah oleh kedua-dua pihak pasti dalam bentuk sementara. Kita tunggulah apabila retak menjadi belah,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Umno Ke-77 di  di Surau Ar-Rahman, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Terdahulu dalam amanatnya sempena Ulang Tahun Umno Ke-77, beliau berkata Umno pernah menjadi ‘mangsa’ ketika bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

“Kita sudah cuba atas nama piagam dan MN, tapi parti itu dengan siapa pun, apabila dia bersekongkol, pasti parti (yang bersama) itu akan ditendang dan diterajang, termasuk kita dulu.

“Saya yakin gabungan parti yang disertai parti itu sekarang ini pun, apabila kocakan mula berlaku, saya fikir tak lama lagi gabungan itu akan pecah dan rakan kongsi politik juga akan ditendang sebagaimana dia tendang kita,” katanya.

Bercakap mengenai Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dijadualkan Ahad ini, Ahmad Zahid berkata, satu pertemuan membabitkan 148 Ahli Parlimen kerajaan akan diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Konvensyen akan bermula dari pagi, akan ada pertemuan dalam kalangan Puteri dan Pemuda pelbagai parti. Tengah hari, kami akan pertemukan 148 Ahli Parlimen yang mendokong kerajaan untuk bertemu Perdana Menteri.

“Tentu ada amanat penting yang akan diberikan Perdana Menteri nanti,” katanya.

Sementara itu, berhubung rundingan pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata, BN sudah melantik Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai rundingan dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya menyerahkan kebijaksanaan perundingan ini kepada Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi BN untuk menentukan kebijaksanaan itu diterjemah sebaik-baiknya. Kita akan menerima apa saja pandangan,” katanya.

Sempena sambutan Ulang Tahun Umno Ke-77, Ahmad Zahid bersama kepimpinan Umno lain menunaikan solat Maghrib serta bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersama malam ini yang dipimpin Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – Malaysiapost

Komen