Kejujuran perjuangan Melayu dibawa Tun M tidak lagi efektif – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi percaya rakyat lebih berminat terhadap agenda ‘perjuangan Melayu’ yang akan dibawa Khairy Jamaluddin berbanding bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Puad juga turut mempertikaikan ‘hujah’ bekas Ketua Pemuda Umno itu yang percaya Dr Mahathir jujur dalam perjuangannya terhadap orang Melayu.

“KJ percaya Tun M jujur memperjuangkan Melayu kerana dia ultra Melayu dan dia tulis buku ‘The Malay Dilemma’. Itu hujah KJ.

“Saya yakin rakyat tidak lagi mempedulikan Tun M jujur atau tidak jujur. Sejujurnya mereka yakin kejujuran perjuangan Melayu Tun M tidak lagi efektif. ‘Your time is over’ (masa anda sudah tamat).

“Sejujurnya rakyat lebih berminat untuk tahu apa agenda ‘perjuangan Melayu’ KJ. Mesti ada kan?” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian mengulas pandangan Khairy yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad jujur dalam perjuangannya terhadap orang Melayu.

Bekas Ketua Pemuda itu berkata, Dr Mahathir sememangnya dikenali sebagai ‘ultra’ Melayu sejak sekian lama.

“Dari sudut lain, ia adalah prinsip sekurang-kurangnya kepada Dr Mahathir, saya tahu dia memang percaya kepada ini. Sebab ini, beliau menulis ‘Dilema Melayu’, dia bapa nasionalis politik Melayu. Dia ultra.

“Bagi saya ini bukan luar biasa untuk Dr Mahathir. Sebab selagi dia ada nyawa Dr Mahathir akan memperjuangkan isu ini. Untuk mengatakan bahawa Dr Mahathir bersikap oportunis mungkin, tapi (bagi) saya ini adalah betul-betul sesuatu yang ikhlas,” kata khairy. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights