Lantik 5 pengerusi baharu badan berkanun bukan bermotif politik – Mat Sabu

Lantik 5 pengerusi baharu badan berkanun bukan bermotif politik – Mat Sabu

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pelantikan lima pemimpin politik sebagai pengerusi baharu badan berkanun di bawah kementeriannya dibuat bukan atas kapasiti politik

Beliau yang mempertahkan tindakan itu, berkata pemiliha kelima-liam individu berkenaan dibuat berdasarkan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi.

Tegasnya, mereka yang dilantik hanya mempengerusikan mesyuarat dan ada pakar yang akan bertindak sebagai penasihat.

“Pemilihan itu dibuat selepas melihat reputasi dan pembabitan mereka terbabit dalam masyarakat. Jawatan mereka hanya pengerusi, di bawah ada pakarnya, semuanya bekerjasama.

“Pengerusi hanya mempengerusikan mesyuarat dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) misalnya, banyak pakar di bawahnya. Penglibatan mereka (pengerusi) dalam masyarakat yang utama, kita tak boleh pilih orang yang berbentuk elit kerana mereka kena ambil tahu hal di bendang, hal nelayan.

“Jadi, rekod mereka dalam masyarakat yang paling utama,” katanya.

Mohamad menjelaskan, tidak timbul isu lantikan dibuat sebagai ganjaran atau imbuhan buat mereka walaupun ada antaranya calon yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ramai yang kalah dalam PRU15 tapi jadi menteri sekarang. Apa kamu nak kata? Prestasinya juga bagus, jadi itu bukan pengukur,” katanya.

Semalam, Mohamad mengumumkan pelantikan Adun Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan melantik Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Manakala Adun Behrang, Aminuddin Zulkipli dilantik mengetuai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sementara, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dilantik Pengerusi MARDI dan Sheikh Umar Bagharid Ali dari DAP dilantik Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Perkara itu mendapat kecaman daripada pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menyindir Kerajaan Perpaduan susulan semakin ramai ahli politik dilantik mengetuai agensi-agensi di bawah kerajaan (GLC). – Malaysiapost

Komen