PAS alu-alukan pelanjutan tempoh perkhidmatan Azam Baki
PAS mengalu-alukan pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki selama satu tahun lagi berkuat kuasa esok.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddun Hassan, berkata parti itu juga percaya pelanjutan tempoh perkhidmatan Azam itu sekali gus menolak tohmahan salah laku dan persepsi buruk terhadapnya dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu.
“Walaupun (Azam) pernah berdepan beberapa dakwaan yang lebih berbentuk tohmahan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini, PAS secara konsisten percaya malah menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu.
“Ia sekali gus menghalang percubaan pihak-pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya secara peribadi dan SPRM sebagai institusi penting negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, PAS mengucapkan tahniah dan berharap Azam akan terus memberi khidmat cemerlang kepada negara, sekali gus memimpin SPRM ke tahap membanggakan dalam usaha membebaskan rakyat dan masyarakat daripada budaya serta amalan rasuah.
“Bagi PAS beliau yang berkhidmat dengan SPRM selama 36 tahun dan dilantik untuk mengetuainya pada 2020 telah terbukti dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang dan berkesan di institusi utama pencegahan rasuah negara ini,” katanya.
Media semalam melaporkan, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa esok.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, pelantikan semula Azam itu adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Malaysiapost