NEGERI yang dianggap kubu Perikatan Nasional (PN) akan dipastikan menjadi kubur pembangkang itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata beberapa projek khas akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mencapai hasrat tersebut, lapor HarapanDaily.
“Ada beberapa negeri yang kita anggap kuat PN akan ada kejutan. Saya tidak mahu umum sekarang.
“Kita sedang membuat beberapa projek khas untuk memastikan negeri-negeri yang dianggap kubu PN akan dijadikan kubur PN,” kata.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog isu semasa pada Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di Ibu pejabat Umno, malam tadi. Turut hadir Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.
Dalam masa sama, Shamsul menegaskan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri bersama dengan barisan Kabinet kini sedang bergerak dengan baik.
Sementara itu, Lokman menasihatkan agar pihak BN dan PH tidak membangkitkan hal yang menjejaskan perpaduan kedua-dua blok parti berkenaan.
“Kita elak daripada mengeluarkan kenyataan yang mengeruhkan suasana serta hubungan yang kondusif dan cantik ini,” katanya.
Menurut Lokman, sikap itu perlu diamalkan meskipun ada pihak yang menganggap berubah prinsip.
“Elak memperkatakan perkara yang lepas bukan suruh minta maaf pun. Kalau nak hubungan kita panjang, ini sikap yang kita kena ambil,” katanya.
Tiga daripada enam negeri yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada masa ini dikatakan kubu kuat PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Malaysiapost