Siapa pun rakan Umno, prinsip perjuangan tak pernah berganjak – Akmal
PEMUDA Umno menegaskan prinsip perjuangan parti itu sejak 77 tahun lalu tidak pernah berubah walau siapa pun rakan parti tersebut ketika ini.
Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata Umno sehingga kini masih kekal dengan perjuangan asalnya iaitu demi agama, bangsa dan negara.
“Siapa sekalipun rakan kita, prinsip perjuangan demi agama,bangsa dan negara tidak akan pernah sedikit pun berganjak.
“Dulu, kini InsyaAllah selamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau menulis demikian sempena ulang tahun ke-77 Umno hari ini.
Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Umno menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut didokong DAP bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Umum mengetahui Umno antara parti yang paling lantang menentang ideologi DAP sebelum ini. – Malaysiapost