KERAJAAN memberi perhatian serius mengenai trend dan perkembangan semasa isu dan ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara yang memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kewujudan pejuang pengganas warga asing, serangan bersifat ‘lone-actor’, individu sel radikal kendiri serta pengebom berani mati adalah antara elemen yang sinonim dengan aktiviti keganasan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkata perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam mesyuarat JPTKK hari ini.
“Secara keseluruhan, trend aktiviti keganasan di Malaysia dilihat menurun iaitu daripada tujuh kes tangkapan berkaitan aktiviti keganasan pada tahun 2020 kepada dua kes tangkapan berkait dengan aktiviti keganasan pada tahun 2022.
“Pada tahun 2022, Malaysia berada pada tahap kedudukan nombor ke-75 berbanding kedudukan anak tangga ke-68 pada tahun 2021 dalam Indeks kedudukan ancaman keganasan global,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, tangkapan individu melibatkan aktiviti keganasan di Malaysia turut mencatatkan penurunan terutamanya selepas pasca Covid-19.
“Setakat Mac 2023, Malaysia telah meratifikasi sebanyak 10 instrumen keganasan daripada keseluruhan 19 instrumen dalam usaha menyokong langkah-langkah menangani keganasan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia masih meneliti lanjut untuk menjadi Negara Pihak kepada sembilan instrumen antarabangsa berkaitan keganasan yang lain,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu, Arahan MKN No. 18: Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan sebagai dokumen dasar bagi mekanisme pengurusan krisis keganasan telah diperkemaskan.
Menurutnya, ia bagi tujuan meningkatkan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan khususnya melibatkan tindakan penyelarasan dan kesiapsiagaan agensi-agensi keselamatan dalam menghadapi ancaman keganasan yang bersifat kompleks dan dinamik secara bersepadu.
“Selain itu, Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat sebagai dokumen pelan tindakan yang komprehensif dalam konteks mencegah fahaman pelampau keganasan dengan penglibatan agensi- agensi kerajaan dan komuniti.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun,” tegasnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini turut membentuk Jawatankuasa Kawalan Keganasan Kebangsaan (JKKK) untuk membantu JPTKK beserta empat Jawatankuasa Kecil peringkat pegawai kanan yang lain.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan adalah Jawatankuasa Kecil Penyelarasan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen dan Triti berkaitan Keganasan; dan Jawatankuasa Kecil Penyelarasan Perundangan dan Penguatkuasaan Undang-Undang.
Beliau berkata, dua lagi adalah Jawatankuasa Kecil Perlindungan Infrastruktur Utama Negara dan Soft Target; dan Jawatankuasa Kecil Penyediaan dan Pelaksanaan Program Kesedaran dan Komunikasi Strategik. – Malaysiapost