Umno pasti bangkit jika semua ahli kembali kepada landasan perjuangan

Umno pasti bangkit jika semua ahli kembali kepada landasan perjuangan

UMNO pasti akan bangkit sekiranya pemimpin dan ahli kembali ke landasan perjuangan serta mengambil iktibar dalam sejarah perjuangan panjang selama 77 tahun parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata semua yang berlaku ke atas Umno sama ada ketika kegemilangannya atau kejatuhan adalah takdir yang sudah ditentukan.

“Tatkala kita berada di atas tentunya ada sebab mengapa Tuhan takdirkan kita jatuh tersungkur walaupun mungkin kita masih mahu bernostalgia dengan segala jasa dan sumbangan di masa lampau.

“Demikian jugalah ketika kita berada di bawah, tidak bermakna Umno tidak mampu bangkit kembali.

“Semuanya tergantung kepada tingkah dan olah setiap warga untuk kembali ke landasan perjuangan sejati dengan ikhlas bersulamkan keimanan dan ketaqwaan seutuhnya kepada Allah,” katanya sempena Ulang Tahun Umno Ke-77.

Mengambil ibrah ayat 140 al-Imran, Asyraf Wajdi berkata, ayat tersebut cukup bermakna sebagai suatu pengajaran buat seluruh warga parti itu bermuhasabah.

“77 tahun merupakan jangka waktu yang cukup panjang dalam lipatan sejarah perjuangan Umno.

“InsyaAllah, dengan asas ini sahaja saya yakin Umno pasti akan bangkit dan terus bangkit demi amanah agama, bangsa dan tanahair tercinta,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sambutan Ulang Tahun Umno ke-77 akan diadakan dengan majlis doa selamat di Surau Ar-Rahman, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang ini.

Difahamkan, sambutan itu juga akan diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

Ulang tahun Umno yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli parti dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh pengasasnya Allahyarham Datuk Onn Jaafar. – Malaysiapost

Komen