Umno PJ nafi sayap Puteri lumpuh

Umno PJ nafi sayap Puteri lumpuh

UMNO Petaling Jaya menafikan dakwaan bahawa sayap Puteri bahagian itu lumpuh susulan video tular peletakan jawatan ketua Puteri dan 13 ahli jawatankuasanya, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Mutalif Rahim, berkata semua ahli jawatankuasa yang dipilih semasa pemilihan sayap Puteri pada 11 Mac lalu kekal setia bersama parti dan hanya ketuanya, Noor Hasliza Abu Talib menghantar surat peletakan jawatan tanpa menyatakan sebab.

“Berkenaan isu video yang tular sebelum ini, kenyataan oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya yang menyatakan beliau bersama ahli Jawatankuasa Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya yang dipilih dan yang dilantik meletakkan jawatan beramai-ramai adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Mutalif berkata, susulan peletakan jawatan Noor Hasliza, pihaknya melantik Naib Ketua Puteri Petaling Jaya Nurulfarahshah Jamil yang menang pada pemilihan penggal 2023-2026, sebagai Ketua Puteri berkuat kuasa semalam.

Mutalif yang juga setiausaha Umno Selangor berkata, pihaknya menerima surat daripada Puteri Umno pusat bertarikh 5 Mei 2023, memaklumkan peletakan jawatan ketua Puteri bahagian Petaling Jaya sudah diterima.

“Berdasarkan kandungan surat tersebut, tidak dinyatakan sebarang sebab atau punca peletakan jawatan bekas ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya,” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial, seorang AJK Puteri Bahagian Petaling Jaya mendakwa kepimpinan sayap bahagian bagi penggal 2023-2026 meletakkan jawatan beramai-ramai serta-merta, tanpa menyatakan sebarang sebab. – Malaysiapost

Komen