PASANGAN suami isteri warga emas ditemui hampir pitam dan terbaring di tepi Jalan Bukit Mambai, Labis, Johor, petang tadi akibat keadaan cuaca yang terlampau panas.
Kedua-duanya yang tidak dapat meneruskan perjalanan dengan menaiki motosikal, bagaimanapun dibantu dan diselamatkan anggota polis yang melakukan rondaan melalui laluan berkenaan.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook Polis Daerah Segamat, memaklumkan kejadian berlaku pada jam 3.50 petang tadi ketika dua anggota polis dalam tugas rondaan di kawasan Jalan Segamat-Labis.
“Lans Koperal Izzat dan Lans Koperal Johan ternampak sepasang suami isteri warga emas sedang terbaring di tepi Jalan Bukit Mambai, Labis, Johor.
“Anggota berkenaan telah ke arah pasangan itu dan hasil temubual dapati kedua pasangan tersebut hampir pitam disebabkan cuaca panas semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tenang, Labis, setelah selesai urusan di Segamat.
“Pasangan warga emas itu tidak dapat menunggang motosikal untuk pulang ke rumah,” menurut hantaran itu.
Anggota polis terbabit kemudian membantu pasangan berkenaan dengan menghantar mereka pulang menaiki kenderaan pasukan, manakala motosikal pasangan itu ditunggang seorang daripada anggota polis terbabit.

“Keadaan warga emas tersebut kini berada dalam keadaan baik dan memerlukan rehat secukupnya.
“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca panas kini.
“Sentiasa memberikan perhatian terhadap anak-anak kecil dan warga emas supaya tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas serta suhu yang agak tinggi yang sedang dilalui kini,” katanya. – Malaysiapost