‘Bukankah halal dan haram itu jelas dalam agama’ – PU Syed tegur Baby Shima
TINDAKAN penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima menyuarakan pendapatnya mendakwa penganjuran konsert di Malaysia bukanlah menjadi satu masalah, menerima reaksi pelbagai netizan termasuk golongan agamawan.
Malah, Shima turut ‘menyelar’ pihak terlibat untuk hanya duduk di rumah dan surau jika menyifatkan konsert berkenaan sebagai haram.
“Siapa hendak tengok pergi tengok. Siapa yang kata haram jangan datang. Duduk rumah, duduk surau. Apalah susah sangat, hidup itu pilihan,” tulisnya dalam InstaStory.
Hantaran berkenaan mendapat reaksi daripada pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU), Syed Mohd Bakri Syed Ishak yang membidas sikap penyanyi itu kerana mengeluarkan fatwa sendiri kerana halal dan haram sudah jelas dalam agama.
“Senang sungguh jari-jemari kamu menaip pandangan songsang begini ya?
“Saya risau kamu tak faham agama, tapi bicara bab agama tentang halal dan haram akan terjerumus dalam golongan Ruwaibidhah.
“Bukankah halal dan haram itu jelas dalam agama? Hukum menyanyi, hukum konsert ada dibahaskan ulama. Jika jaga adab dan patuh syariat, silakan. Tetapi, jika sebaliknya, hentikan!” katanya.
Sebelum ini, PU Syed turut membantah penganjuran konsert kumpulan rock popular Britain, Coldplay pada 22 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tegas PU Syed, konsert tersebut tidak bermanfaat kepada ummah dan budaya hedonisme atau hiburan dalam masyarakat perlu dihentikan. – Malaysiapost