‘Ini jelas satu pembunuhan karakter’ – Armada

ARMADA Bersatu mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa sengaja menamakan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam beberapa pertuduhan terhadap seorang ahli perniagaan, kelmarin.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata tindakan SPRM itu juga dilihat bertujuan untuk menjatuhkan imej serta kredibiliti Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

“Pertuduhan-pertuduhan tersebut dikenakan terhadap individu lain namun dengan sengaja menyasarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bertujuan memalukan dan menjatuhkan imej serta kredibiliti beliau di mata awam.

“Ini jelas satu pembunuhan karakter (character assassination) dibuat bagi mempengaruhi sokongan rakyat semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN) terutamanya menjelang pilihan raya enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, campur tangan kerajaan seolah-olah dilihat ingin mengambil alih perhatian daripada rakyat daripada isu semasa.

Justeru, Armada mendesak SPRM supaya menjalankan tugas secara profesional agar rakyat tidak melihatnya seolah-olah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan lain.

“Tindak tanduk SPRM sejak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negara telah dikritik hebat termasuklah cara badan tersebut mengendalikan isu Hakim Nazlan yang telah mencemar nama institusi badan kehakiman negara,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri hairan apabila dikaitkan dalam kes rasuah membabitkan projek-projek di bawah KDN walaupun tiada langsung pembabitannya.

Ia susulan tindakan SPRM telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap seorang individu bernama Datuk Seri Sim Choo Thiam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights