Kerajaan cari dana selesai masalah air Kelantan – PM

Kerajaan cari dana selesai masalah air Kelantan – PM

KERAJAAN Persekutuan akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan yang terus membelenggu pengguna di negeri itu sejak dulu lagi.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya perbezaan politik diketepikan dan mahu masalah berkenaan diselesaikan dengan kerjasama kerajaan Kelantan.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berhubung perkara itu.

Malah, katanya, beliau juga telah mempersembahkan ‘hasrat’ itu pada sesi menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Kelantan di Kubang Kerian, petang tadi.

“Kelantan ini hadapi masalah air agak serius, jadi saya nak cadangkan supaya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Perdana Menteri berpandangan adalah tidak wajar Kelantan terus menghadapi masalah bekalan air selepas negara merdeka lebih 60 tahun.

Menurutnya, masalah politik yang tidak berkesudahan sememangnya membebankan rakyat.

“Oleh yang demikian saya menyeru (penyelesaian) dan ini pendirian Kerajaan Perpaduan kita akan cari dana, jalan penyelesaian tetapi mesti kaedah yang betul dan mendapat kerjasama penuh kerajaan negeri,” katanya. – Malaysiapost

Komen