Laporan polis langkah pertama – Hamzah

LAPORAN polis susulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa mengaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan kes rasuah di mahkamah merupakan langkah pertama bekas Menteri Dalam Negeri itu.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, beliau akan mengambil beberapa langkah lain atas prinsip ‘berani kerana benar’.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan langkah yang akan diambilnya selepas ini.

“Berani kerana benar!.

“Pagi tadi, saya telah mengarahkan pegawai saya membuat laporan polis bagi menyiasat komplot jahat bermotif politik yang cuba mengaitkan nama saya dalam kes pertuduhan yang tiada kena mengena dengan saya, semata-mata demi memburukkan nama saya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Laporan polis ini adalah langkah pertama sebelum beberapa langkah susulan dibuat selepas ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Sulit Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pagi tadi.

Ahmad Ikhwan mendakwa, nama Hamzah secara salah dan berniat jahat dikaitkan dalam pertuduhan rasuah membabitkan projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang pernah diterajui Ahli Parlimen Larut itu.

Katanya, Hamzah yang Setiausaha Agung PN dan Ketua Pembangkang sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung fakta dalam pertuduhan kes berkenaan.

“Sehubungan itu, laporan polis dibuat kerana tidak mahu nama Hamzah dikaitkan dengan pertuduhan yang mana beliau tidak pernah terlibat.

“Laporan polis itu juga dibuat agar polis siasat konspirasi menyalahguna kuasa dan mengerah SPRM supaya mengambil tindakan pemangsaan politik terhadap pemimpin Bersatu dan orang di sekeliling mereka,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights