Lebih RM103 juta untuk imam, guru agama di Kelantan – PM
LEBIH RM103 juta telah disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kelantan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu membabitkan imam seramai 1,170 orang dengan jumlah peruntukan RM11.9 juta dan elaun guru takmir seramai 341 orang dengan jumlah sebanyak RM3.68 juta.
“Bayaran khas sebanyak RM600 secara ‘one-off‘ diteruskan pada tahun ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di Kelantan membabitkan seramai 2,605 penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.56 juta.
“Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA pula adalah sebanyak RM82.79 juta yang melibatkan seramai 5,470 orang,” katanya ketika berucap pada Program Madani Ulama dan Umara Negeri Kelantan 2023, hari ini.
Menurut Anwar, caruman sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga diteruskan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir dengan peruntukan RM606,444 setahun.
“Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM103,863,258 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga melalui Yayasan Taqwa (MAIWP) menyalurkan sumbangan Bantuan Musibah Negeri Kelantan sebanyak RM2,654,175.
“Ia bagi bina baharu kediaman sebanyak RM829,225, membaik pulih rumah (RM1,536,250), membaik pulih masjid dan surau (RM278,700) dan membaik pulih institusi pendidikan (RM10,000),” katanya.
Anwar berkata, kerajaan mahukan agensi Islam menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan dan tata kelola.
“Ini cabaran mesti kita sahut bersama, sama ada di peringkat Persekutuan dan juga negeri. Umpamanya dalam aspek pengurusan kewangan serta tata kelola pentadbiran hal ehwal Islam yang berintegriti perlu dititik beratkan oleh kita semua,” katanya. – Malaysiapost