Tak hormat senior punca pelajar ditumbuk, diterajang

Tak hormat senior punca pelajar ditumbuk, diterajang

SEORANG pelajar Tingkatan Tiga ditumbuk dan diterajang oleh sekumpulan pelajar senior dipercayai akibat perselisihan faham dalam kejadian di Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah, Ampang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima laporan semalam berhubung kejadian yang berlaku.

“Pada 8 Mei jam 9.30 pagi semasa di tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang di bahagian belakang oleh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima yang dikenali.

“Mangsa diugut akan disiku di bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera. Kira-kira jam 3 petang mangsa diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar, Kemensah lalu dipukul.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior Tingkatan Lima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, salah seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali sambil disaksikan kira-kira 15 pelajar lain.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang belakang tengkuk dan mengalami kesakitan serta lebam.

Terdahulu, kejadian itu tular selepas tiga video dimuat naik seorang pengguna Instagram memaparkan mangsa yang keseorangan hanya mampu terbaring sambil cuba melindungi diri daripada terus dipukul suspek secara bertubi-tubi.

Mengulas lanjut, Mohd Farouk berkata semua suspek sudah dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

“Polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap orang lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen