Sebelum Coldplay datang, bantu rakyat keluarkan KWSP bersasar – Wan Saiful

Sebelum Coldplay datang, bantu rakyat keluarkan KWSP bersasar – Wan Saiful

SEORANG pemimpin Bersatu meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu rakyat yang terkesan menerusi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar, sebelum teruja dengan kedatangan kumpulan rock antarabangsa, Coldplay.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyindir Perdana Menteri yang cukup mengucapkan selamat datang kepada Coldplay, sedangkan konsert tersebut hanya akan berlangsung November.

“Saya teruja Anwar bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada Coldplay ke negara ini, dalam siri jelajah kumpulan rock itu buat konsert pada November ini. Lama lagi Coldplay nak datang, bukannya esok.

“Tetapi, saya lagi teruja salam rakyat KWSP bersasar yang memohon prihatin seorang Menteri Kewangan sebelum Coldplay datang KL pun, dia buat-buat tak nampak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Selasa lalu, Anwar menerusi ciapan di Twitter mengalu-alukan kedatangan Coldplay yang bakal mengadakan konsert sulung di Malaysia pada November ini.

“Selamat datang ke Kuala Lumpur,” ciapnya.

Sementara itu Wan Saiful dalam nada sinis berkata beliau kagum dengan Anwar yang meluangkan masa menonton filem kisahnya sendiri, ‘Anwar, The Untold Story’ bersama ‘kelab peminat’.

“PM kita memang betul berjiwa rakyat. Ada masa tengok filem tetapi tak ada masa nak dengar rintihan rakyat dan dengar solusi daripada NGO berkenaan #kwspbersasar,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen