Tun M sedia beri separuh wang RM1 bilion jika dakwaan Anwar terbukti
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang didakwa Ahli Parlimen Tambun itu.
Malah, Dr Mahathir secara berseloroh berkata, sekiranya Anwar mampu berbuat demikian separuh daripada wang berkenaan akan diberikan kepada Perdana Menteri Ke-10 itu.
“Sebab itu, saya cabar Anwar, kalau dia dapat jumpa RM1 bilion (yang dikatakan) duit (yang ada kepada) saya, saya bagi dia separuh.
“(Berkaitan) bekas pemimpin (yang didakwa kaut keuntungan), dia cabar buat apa, dulu dia ‘ex-Malay leader’ juga, dia juga patut isytihar dia punya harta dahulu… bagi contoh dan dia bagi (cabaran itu) kepada semua orang.
“Beliau tidak payah suruh orang lain, jawab tuduhan kononnya saya ada wang berbilion, (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) ada berbilion, ada jet dan sebagainya, tunjuk (kepada umum),” katanya.
Baru-baru ini, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.
Perdana Menteri berkata, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.
Namun menurut Anwar, apabila mereka tidak lagi berkuasa, isu membabitkan penyatuan serta kekuatan orang Melayu baru dibangkitkan dan diperjuangkan individu berkenaan. – Malaysiapost