USAHA Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan mengulangi pendekatan ‘tebuk atap’ tidak akan berjaya.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata ini kerana Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin kukuh dan stabil malah sebarang percubaan menjatuhkannya adalah sia-sia.
“Kita dengar sebelum ini ada ura-ura angka disebut (pembangkang) kononnya itu ini, itu ini.
“Tapi pintu itu sudah ditutup, atap pun sudah ‘sealed’ dan pintu belakang pun sudah ‘locked’ (dikunci),” katanya seperti dilapor HarapanDaily.
Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur malam tadi.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kekukuhan kerajaan pada hari ini boleh dibuktikan dengan kelulusan usul percaya kepada Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.
“Pada waktu itu telah terbukti bahawa 148 (sokongan) itu adalah angka yang sahih, jadi tidak timbul sekarang kalau ada sesiapa yang nak uji semula (usul percaya).
“Takkan setiap kali nak mulakan mesyuarat Parlimen bukan sahaja dimulakan dengan doa tapi undi percaya. Itu tidak masuk akal,” katanya.
Menurut Fahmi lagi, segala tindakan PN harus dinoktahkan kerana ia akan mengganggu-gugat bukan sahaja kestabilan malah merencatkan pertumbuhan ekonomi.
“Tindakan sedemikian hanyalah satu cubaan untuk mensabotaj pemulihan negara,” katanya.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang berhubung dakwaan wujud beberapa gerakan yang dikatakan sedang berusaha untuk menumbangkan kerajaan yang terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen.
Perkara itu turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri bagaimanapun Anwar yakin kerajaan pimpinannya ketika ini akan kekal mentadbir sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. – Malaysipost