14 kes strok haba direkod sehingga semalam
SEBANYAK 14 kes strok haba direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam, susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Suani, berkata pihaknya menjangkakan kes strok haba terus meningkat akibat cuaca panas yang dijangka sehingga Ogos ini.
“Sehingga semalam, 14 kes dilaporkan namun masih terkawal dan mampu ditampung di fasiliti kesihatan seluruh negara.
“Terdapat enam kes dilaporkan di Kelantan, Sarawak (5) dan Sabah (3) dengan paling ramai membabitkan golongan dewasa iaitu tujuh kes,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan 4th Intermediate Electrocardiogram Conference 2023 anjuran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, daripada jumlah kes itu, 13 mangsa sudah pulih kecuali satu kes kematian di Kelantan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Sementara itu, menurutnya, KKM mengenal pasti lokasi yang mengalami suhu tinggi menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk tindakan segera termasuk menyediakan fasiliti kesihatan.
“Memandangkan cuaca panas sehingga Ogos ini, orang ramai yang dikesan mengalami simptom strok haba disarankan untuk mendapatkan rawatan segera di hospital berdekatan.
“Ibu bapa pula tidak perlu bimbang untuk hantar anak ke sekolah, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga terutama pengambilan air secukupnya selain tidak melakukan aktiviti sukan berlebihan,” katanya. – Malaysiapost