DUA beradik maut selepas kediaman mereka terbakar di Kampung Mentuan Sering, Kota Bharu, Kelantan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Mangsa, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31, dan adiknya, Aisyah Ab Halim, 22, yang juga orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down difahamkan ditemui di dalam tandas serta ruang tamu rumah berkenaan.
Ibu mangsa, Rubiah Ismail, 59, berkata, ketika kejadian dia ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum diberitahu orang kampung mengenai kebakaran rumahnya.
“Saya terus bergegas pulang ke rumah namun api sudah marak dan saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya cuba menjerit memanggil kedua-dua anak namun tidak bersahut.
“Hampir setiap malam saya solat berjemaah di masjid dan meninggalkan mereka berdua dalam rumah yang tidak berkunci. Anak perempuan saya penghidap Sindrom Down, manakala yang lelaki juga mempunyai masalah kesihatan.
“Tetapi mereka boleh bergerak seperti biasa. Mungkin kerana panik, mereka tidak tahu bagaimana untuk keluar,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Rubiah bagaimanapun reda ketentuan Ilahi dengan pemergian kedua-dua anaknya itu.
“Anak perempuan saya penghidap Sindrom Down, manakala yang lelaki juga ada masalah kesihatan.
“Tetapi mereka boleh bergerak seperti biasa…mungkin kerana panik, mereka tidak tahu bagaimana nak keluar daripada rumah (yang terbakar),” katanya.
Menurutnya, kedua-dua anaknya itu tinggal bersamanya di rumah berkenaan, manakala anak-anak lain sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri.
“Dalam sekelip mata, saya diuji dengan kehilangan dua anak sekaligus. Saya reda dengan ketentuan ini. Biasanya merekalah yang menemani saya di rumah memandangkan anak-anak lain sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri.
“Saya berdoa semoga diri ini terus diberi kekuatan untuk menerima kenyataan atas apa yang berlaku,” katanya. – Malaysiapost