PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka, hari ini.
Menurutnya, majlis itu dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama 120 gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta pelbagai rakan strategik lain.
“Saya gunakan kesempatan bertemu dan beramah mesra dengan para sukarelawan dan pengunjung sekaligus dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di Wilayah Persekutuan.
“Saya juga teruja dengan semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh para sukarelawan dalam menyediakan juadah kepada pengunjung yang hadir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berharap masjid dan surau akan terus menjadi institusi penyatuan masyarakat dan membantu golongan kurang berkemampuan.
“Semoga peranan institusi masjid dan surau sebagai wadah penyatu masyarakat akan terus menyumbang kepada semangat persaudaraan dan seterusnya memupuk sikap prihatin khususnya dalam kalangan komuniti yang kurang berkemampuan,” katanya. – Malaysiapost

