SEORANG bayi berusia empat bulan melecur di bahagian kepala dan kaki dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Pekan Lama Kimanis, Sabah semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis menerima panggilan telefon mengenai kebakaran rumah itu pada jam 9.25 pagi.
Menurutnya, seramai enam orang anggota bomba daripada BBP Kimanis bergegas ke lokasi kejadian serta dibantu BBP Papar seramai lapan orang anggota.
“Komander Operasi, Anwar Bahrin, memaklumkan kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus.
“Anggota Bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air daripada pam jentera dan pili bomba berhampiran.
“Dalam kejadian itu, seorang bayi lelaki berusia empat bulan didapati telah melecur di bahagian kepala dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bayi berkenaan sudah dihantar ke Hospital Papar oleh ahli keluarga mangsa sebelum pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi.
“Operasi pemadaman dapat dikawal pada jam 9:35 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah hari,” katanya. – Malaysiapost