Bersatu tangguh pemilihan, sedia hadapi PRN

BERSATU bersetuju untuk menangguhkan pemilihan bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi memberi tumpuan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagaimanapun pemilihan di peringkat cawangan akan diteruskan.

“Majlis Pimpinan Tinggi bersetuju pemilihan bahagian dan MPT kecuali cawangan ditangguhkan tidak lebih daripada tempoh 18 bulan.

“Perkara itu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Bersatu fasal 14.15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hamzah, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MPT Bersatu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, jentera Bersatu telah diperkuat dan diperkemaskan agar menjadi satu ketumbukan yang ampuh bagi menghadapi PRN.

“Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) juga melahirkan keyakinan tinggi untuk memperoleh kemenangan besar dalam PRN itu nanti dengan mempertahankan Kelantan, Terengganu serta Kedah.

“Kami akan bekerja kuat bagi menawan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, katanya, orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka PN yang akan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, pada 21 Mei ini.

“Majlis akan bermula jam 8 malam hingga 11 malam, ” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights