BN pertaruh calon mesti menang, bukan boleh menang

BARISAN Nasional (BN) akan meletakkan calon yang mesti menang kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kali ini tugas lebih berat lagi kerana perlu memilih calon yang mesti menang, bukannya boleh menang.

“Justeru, saringan calon-calon di peringkat negeri dan bahagian masing-masing perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

“Negeri-negeri akan menyenarai pendek calon-calon mereka dan kita perlu pilih calon yang mesti menang, bukan boleh menang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar Ke-26, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, adalah penting untuk meletakkan calon mesti menang berikutan pelbagai persepsi terhadap BN.

“Penting bagi kita adalah mahu menang pada pilihan raya, bukan kira mahu bertanding berapa banyak tetapi akhirnya kalah buat apa. Kami mahu letakkan calon yang mesti menang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan perundingan kerusi di antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN memaklumkan BN dan PH akan bertanding di semua kerusi.

“Berapa BN akan bertanding sama ada di Negeri Sembilan atau Selangor itu belum dimulakan rundingannya, sebab seperti saya katakan, hal calon ini elok dibuat kemudian.

“Kita mantapkan dan sediakan jentera terlebih dahulu, apabila sudah bersedia, biar pemimpin-pemimpin parti yang akan berunding mengenai pembahagian kerusi dan akhir cerita nanti setiap parti mencalonkan calon-calon yang mesti menang.

“Dalam pilihan raya tidak boleh pandang mudah, tak boleh kata Negeri Sembilan dan Selangor kita ada kelebihan.

“Ia macam perlawanan bola sepak jugalah (contoh) Manchester United boleh kalah dengan Liverpool, dalam pilihan raya pun sama, setiap negeri mesti berada dalam kesiap siagaan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights