Ekonomi negara berkembang 5.6% suku pertama 2023 – Anwar

Ekonomi negara berkembang 5.6% suku pertama 2023 – Anwar

PRESTASI ekonomi Malaysia pada suku pertama 2023 meningkat terutama membabitkan sektor perkhidmatan dan pembuatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi itu disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi pertumbuhan berasaskan luas merentas semua sektor.

Menurutnya, sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 7.3 peratus bagi tempoh berkenaan dan sektor pembuatan pula meningkat sebanyak 3.2 peratus dalam tempoh sama.

“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi infografik mengenai prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini.

Berdasarkan infografik berkenaan pertumbuhan suku pertama 2023 negara adalah pada kadar 5.6 peratus yang menyumbang kepada sasaran pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun ini antara 4.0 hingga 5.0 peratus.

Prestasi itu menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding suku pertama tahun 2022 iaitu 4.8 peratus dan ia juga lebih baik berbanding pertumbuhan suku pertama negara serantau yang lain.

Pertumbuhan ekonomi suku pertama 2023 bagi Indonesia adalah 5.0 peratus, manakala China 4.5 peratus dan Vietnam 3.5 peratus.

Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan trend pertumbuhan adalah inflasi suku pertama 2023 negara (3.6 peratus) berbanding suku keempat 2022 (3.9 peratus).

Manakala pengangguran suku pertama tahun ini pula adalah 3.5 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku keempat tahun lalu. – Malaysiapost

Komen