Jangan salahguna visa pelancong, visa umrah semasa musim haji – Motac
KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah umrah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji yang dijangka bermula minggu ketiga Jun ini dan akur dengan peraturan semasa ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Motac turut menasihati umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan haji.
“Motac sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan ingin mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum musim haji bermula.
“Peringatan ini diwar-warkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk musim haji,” menurut kenyataan itu.
Menurut Motac, perkara itu merupakan satu kesalahan dibawah peraturan kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan haji tanpa mempunyai permit yang sah.
“Kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya.
Menurut kenyataan itu, Motac memandang serius berhubung perkara berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Katanya, ia juga bagi menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
“Tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian ini.
“Motac menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara,” katanya. – Malaysiapost