Kerajaan Perpaduan tubuhkan SPIIM

Kerajaan Perpaduan tubuhkan SPIIM

KERAJAAN Perpaduan sepakat menubuhkan Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM) yang akan ditunjangi pemikir dan ulama dari parti Umno, PKR, Amanah serta badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Setiausaha Majlis Ulama (MUU) Umno Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata sekretariat itu akan menjadi medan interaksi dalam usaha memperkasakan Islam di negara ini dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

“Sekretariat itu akan menggerakkan pengembangan usaha memperkasakan Islam dalam negara Malaysia tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Majlis Ramah Mesra Ilmuwan Islam di Putrajaya malam tadi.

Menurutnya, majlis berkenaan dihadiri oleh Pengerusi MUU, Datuk Dusuki Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MUU, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin; Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang.

Katanya, turut hadir Timbalan Penasihat Umum Amanah, Datuk Abd Ghani Samsudin; Setiausaha Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Muhamad Muszaki Mohd Ozir; dan Setiausaha Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK, Ashraf Hadi.

Hadir sama Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abd Hamid dan Ahli Jawatankuasa MAPIM, Dr Fauzi Zakaria.

Khairuddin berkata, sekretariat itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Dusuki, Ahmad dan Amidi sebagai mewakili ketiga-tiga parti kerajaan.

“Satu bengkel akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan hala tuju dan kerangka kerja SPIIM,” katanya. – Malaysiapost

Komen