Nik Nazmi, Fahmi nafi pegawai disiasat SPRM

MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, menafikan tuduhan pegawainya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, beliau juga menafikan telah memecat pegawainya kerana terpalit dengan isu rasuah.

“Setakat ini, tiada pegawai saya yang telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak SPRM.

“Namun begitu, jika terdapat sebarang siasatan, saya dan mana-mana pegawai saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, turut menafikan dakwaan bahawa seorang daripada pegawainya sedang disiasat SPRM.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah palsu dan fitnah yang jahat terhadap dirinya dan kementerian.

“Semua pegawai saya setakat sekarang ini, masih berkhidmat seperti biasa dan tiada siapa pun yang dipanggil SPRM. Perkara ini telah kita sahkan,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berkata, beliau telah meminta setiausaha politiknya untuk membuat laporan polis berkenaan dakwaan itu kerana ia merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Semalam, portal Edisi Siasat menerusi saluran Telegram, mendakwa Fahmi dan Nik Nazmi telah memecat pegawai masing-masing kerana dipanggil SPRM untuk membantu siasatan rasuah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights