Pengasuh ditahan disyaki dera bayi 7 bulan

Pengasuh ditahan disyaki dera bayi 7 bulan

SEORANG pengasuh ditahan kerana disyaki mendera bayi lelaki jagaannya yang berusia tujuh bulan di Taman Universiti, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner M S Balveer Singh, berkata wanita tempatan itu ditahan di rumahnya, selepas satu laporan polis dibuat ibu bayi berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Menurutnya, ibu mangsa percaya anaknya telah didera berdasarkan beberapa kesan lebam ditemui pada badan bayi berkenaan.

“Ibu mangsa bersama suami telah membawa mangsa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat beberapa kesan lebam di tubuh badan mangsa.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan di bawah pemerhatian pihak HSA,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, susulan laporan yang dibuat ibu mangsa, polis telah menahan suspek di rumahnya di sekitar Taman Universiti pada hari yang sama.

“Suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan awal dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, suspek juga pernah dituduh di bawah akta yang sama sebelum ini kerana disyaki mendera kanak-kanak lain pada 2021.

Katanya, kes berkenaan masih dalam proses perbicaraan di mahkamah. – Malaysiapost

Komen