Politik khayalan Dr Mahathir yang maksum

TIMBALAN Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengamalkan politik khayalan dengan menyangkakan dirinya maksum.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ll, berkata bekas Perdana Menteri dua kali itu tidak pernah mengakui kelemahan dirinya dalam politik, namun sebaliknya menyalahkan pihak lain.

Menurutnya, sebagai bukti Dr Mahathir melompat ‘kapal’ dari Umno ke Bersatu pada 2016, dari Bersatu ke Pejuang pada 2020, ke Gerakan Tanah Air (GTA) pada tahun sama sebelum meninggalkan gabungan itu seperti dilaporkan media semalam.

Ramasamy berkata, bekas Ahli Parlimen itu juga dilaporkan tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak akan aktif dalam politik

“Dia (Dr Mahathir) mungkin tidak bersama parti politik atau gabungan, tetapi dia sangat berpolitik, satu bentuk politik yang sangat dipersoalkan.

“Bagi Dr Mahathir, melompat dari satu parti ke parti lain adalah disebabkan kegagalan pihak lain. Ia tidak pernah salah atau kegagalannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ramasamy berkata, sebaliknya bekas Perdana Menteri itulah yang menjadi ‘beban’ kepada GTA sehingga gabungan berkenaan tewas di semua kerusinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Buktinya, Dr Mahathir kehilangan deposit pilihan raya di kawasan Parlimen Langkawi. Sebilangan besar calon GTA juga kehilangan deposit mereka.

“Namun sebaliknya, beliau meninggalkan GTA kerana mendakwa gabungan itu gagal mendapat sokongan orang Melayu.
Jadi, sekali lagi, kesalahan adalah pada orang lain dan pastinya bukan dirinya,” katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir kini dilihat menggerakkan Proklamasi Orang Melayu sebagai inisiatif terbarunya untuk menyatukan komuniti termasuk membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan parti lain.

“Beliau beranggapan bahawa dengan mengenepikan parti politik, beliau akan mendapat sokongan orang Melayu dalam PKR dan Amanah mahupun Umno dalam hal itu.

“Seperti yang telah saya hujahkan sebelum ini, Proklamasi Orang Melayu bukanlah untuk memperbaiki nasib orang Melayu tetapi bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Ramasamy mendakwa, langkah bagi menjatuhkan Kerajaan perpaduan itu dilakukan melalui penggemblengan sokongan melalui deklarasi Melayu.

Beliau mendakwa, politik bagi Dr Mahathir bukanlah tentang membawa perubahan progresif kepada negara, tetapi bagaimana sekumpulan kecil elit Melayu termasuk yang maksum beliau memegang dan mengekalkan kuasa.

“Kuasa bukan untuk kepentingan sendiri tetapi memastikan hasil ekonomi dan kewangan pergi kepada mereka yang rapat dengannya.

“Mahathir dalam usia 90-an adalah seorang atau pemimpin yang mempunyai minda yang berimaginasi.

“Dia selektif tentang ingatannya, lupa apa yang dia mahu lupakan, ingat apa yang dia mahu dan kebanyakannya menyimpan khayalan besar bahawa dia adalah hadiah kepada orang Melayu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights