Rundingan kerjasama PRN Umno, PH Pulau Pinang berjalan lancar – Reezal Merican

RUNDINGAN antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang (PP) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, berjalan dengan lancar.

Ketua Jabatan Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika mengesahkan perkembangan itu berkata perbincangan sedang dijalankan sehingga satu keputusan muktamad dipersetujui.

“Perjumpaan pertama berjalan dengan baik. Saya tak berhajat nak komen kerana bila ada rundingan maka bersifat prinsip dan asas yang ia sebaiknya dibincangkan secara ‘close door’ (tertutup).

“Hal ini juga (perbincangan tertutup) adalah antara persefahaman yang kita capai bersama pimpinan PH kerana dalam rundingan banyak sudut pandang akan dipersembahkan.

“Jadi, kita kena perhalusi semua cuma saya boleh maklumkan, ia berjalan baik dan lancar,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di pekarangan Rumah Sejarah, di Kepala Batas, malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Media sebelum ini melaporkan PH dan Umno Pulau Pinang dijangka akan mengadakan mesyuarat kedua minggu depan bagi meneruskan perbincangan pembahagian kerusi menjelang PRN.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang dilaporkan berharap mesyuarat kedua akan membuahkan hasil dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak berhubung hal-hal berkaitan PRN.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, soal pembahagian kerusi dan hasil rundingan yang termeterai adalah sebaiknya dibuat oleh peringkat tertinggi.

“Cuma pada masa sekarang, saya boleh beri isyarat tidak ada benda yang tersekat kerana kami mempunyai keazaman bersama demi rakyat Pulau Pinang,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights