40,000 notis kesalahan merokok di premis makan dikeluarkan sepanjang 2022 hingga Mac 2023

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan memandang serius aduan kesalahan merokok di tempat larangan terutama di premis makan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan menjadi tular di media-media sosial.

Bagi menangani isu berkenaan, aktiviti-aktiviti penguatkuasaan larangan merokok dijalankan secara berkala di semua negeri di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan secara keseluruhan, sebanyak 12,773 bilangan operasi telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022, manakala bagi tahun 2023 sehingga Mac, bilangan operasi adalah sebanyak 4,113.

“Sebanyak 30,648 notis kesalahan dengan nilai RM7.6 juta telah dikeluarkan sepanjang tahun 2022 bagi kesalahan merokok di tempat makan

“Manakala bagi tahun 2023 sehingga Mac, sebanyak 13,331 notis kesalahan dengan nilai RM 3.3 juta telah dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, lima negeri dengan pengeluaran notis kesalahan merokok di tempat makan paling tinggi sepanjang tahun 2022 adalah Selangor (6,414 notis), Johor (3,095 notis), Pahang (2,935 notis), Perak (2,808 notis) dan Pulau Pinang (2,725 notis).

“KKM ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

“Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape adalah diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf oleh KKM,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, satu Operasi Mega Bersepadu telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan Putrajaya, semalam bagi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok.

Menurut KKM, operasi berkenaan membabitkan anggota penguatkuasa di bawah JKWPKL serta anggota-anggota daripada Bahagian Kawalan Penyakit, Sektor Inspektorat dan Perundangan KKM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

“Operasi bermula sejak pukul 6 petang (semalam) menyasarkan tempat larangan seperti premis makan, kompleks beli belah, taman awam dan laluan pejalan kaki berbumbung.

“Fokus utama adalah kepada premis makan yang mana aduan paling banyak diterima” katanya.

Menurut KKM lagi, secara keseluruhan sebanyak 131 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan merokok termasuk 34 notis merokok di premis makan, dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam (18) dan kompleks beli belah (44).

“Jumlah kompaun dianggarkan sebanyak RM31,500,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights