Dulu bersengketa kini berkongsi pentas demi negara – Wanita DAP

KETUA Wanita DAP Chong Eng, menyeru supaya semua pihak mengenepikan perbezaan dan menumpukan kepada persamaan bagi membina Malaysia yang lebih baik.

Menurutnya, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini menjadi sejarah ke arah perkembangan baik itu.

Beliau berkata, ia buat pertama kali bagi DAP dan dirinya sendiri bersama di bangunan yang sinonim dengan Umno di mana sebelum ini mereka bersengketa namun kini berkongsi pentas demi negara.

“Ketepikan perbezaan dan tumpukan pada persamaan. Terima rakyat pelbagai kaum yang lain.

“Ini satu hari dalam sejarah, sangat bermakna dalam sejarah pada hari ibu ini.

“Ini bangunan (WTC) yang baru saya masuk pagi ini. Dulu kita lawan sekarang kita kawan untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan, di WTCKL, hari ini.

Konvensyen Kerajaan Perpaduan 2023 buat pertama kali diadakan selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerjasama dengan BN, GPS, parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain lagi bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen ini diadakan bertujuan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli politik yang menjadi tunjang kepada kerajaan.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menggesa perwakilan yang hadir pada konvensyen itu menyampaikan maklumat kepada masyarakat supaya mereka memahami matlamat Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, ia penting supaya agenda Kerajaan Perpaduan difahami bagi mencapai kejayaan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua pula mahukan tumpuan turut diberikan kepada negeri Sabah supaya ia tidak ketinggalan.

“Ia adalah menjadi impian setiap rakyat Sabah yang mahukan negeri terus diberi tumpuan dari segi pembangunan supaya tidak terpinggir,” ucapannya di konvensyen itu hari ini.

Norfaizah turut menyokong agenda untuk mengangkat peranan wanita termasuk dalam kerajaan mahu pun politik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights