KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 hari ini memberi peluang kepada 19 parti mengetepikan perbezaan dan mencari titik persamaan bagi mewujudkan Malaysia yang lebih baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan tidak boleh lagi memberi tumpuan pada perbezaan antara mereka, meskipun pernah berseteru sejak puluhan tahun lalu.
Beliau berkata, parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu bergerak bersama-sama untuk mencari penyelesaian mengangkat isu kebajikan rakyat, ekonomi dan perpaduan sebagai langkah ke hadapan.
“Apa yang kita nak fokuskan adalah mencari titik persamaan, bukan memberi tumpuan pada perbezaan. Apakah persamaan yang boleh memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat kita?
“Apakah titik persamaan yang boleh kita beri tumpuan supaya kita dapat mengangkat kehidupan rakyat kita? Apakah titik persamaan untuk kita gerakkan ekonomi negara kita?
“Inilah yang boleh menjadi tumpuan dalam kalangan pemuda dan konvensyen ini untuk membina bersama negara kita berteraskan konsep Kerajaan Madani,” katanya ketika menghadiri Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS turut menyaksikan pelancaran “Tekad Pemuda Perpaduan dan Geng Perpaduan (GP)”.
Tekad berkenaan menggariskan lima perkara yang bakal menjadi teras dan matlamat sayap pemuda Kerajaan Perpaduan iaitu Bina Bersama Kesepakatan Politik, Bina Bersama Perpaduan Nasional, Bina Bersama Ekonomi Belia, Bina Bersama Jaminan Sosial serta Bina Bersama Kemampanan dan Kestabilan Sosio Ekonomi.
Tekad Pemuda Perpaduan dan GP itu menjadi komitmen sayap pemuda kerajaan untuk memastikan perpaduan dalam kalangan parti serta rakyat diperkukuhkan.
Fadillah berkata, asas kekuatan sesebuah negara adalah perpaduan dalam kalangan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira sektor politik, perniagaan dan sosial.
“Konvensyen pemuda memberi tumpuan kepada pelbagai topik, termasuk membina negara bangsa yang menekankan kepada betapa pentingnya mewujudkan kestabilan politik dan perpaduan negara.
“Dengan pelancaran tekad dan GP ini, ia menjadi satu komitmen bagaimana kita nak memastikan perpaduan ini diperkukuh bukan saja dalam kalangan parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan, tapi juga membawa agenda perpaduan ini ke seluruh negara.
“Kalau kita dapat bersatu, insya-Allah yang lain akan datang dalam rencana kita membangun dan membina negara bangsa yang lebih kukuh, harmoni, makmur dan sejahtera,” katanya. – Malaysiapost