Guan Eng persoal kenaikan OPR

Guan Eng persoal kenaikan OPR

KENAIKAN kadar dasar semalaman (OPR) secara mengejut oleh Bank Negara Malaysia pada 3 Mei lalu, mengejutkan lebih 80 peratus ahli ekonomi yang ditinjau.

Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, berkata, ia mungkin menyukarkan Malaysia untuk mengulangi pertumbuhan  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023 sebanyak 5.6 peratus pada suku kedua 2023.

“Alasan yang diberikan oleh Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang mahu berwaspada terhadap inflasi yang meningkat semula sebagai justifikasi kenaikan mengejutkan dalam OPR baru-baru ini telah menimbulkan kekeliruan.

“Mengapakah inflasi kini menjadi masalah yang memerlukan kenaikan OPR tetapi tidak menjadi masalah pada Januari dan Mac 2023 apabila BNM menghentikan kenaikan OPR?

“Nor Shamsiah telah melahirkan kebimbangan bahawa inflasi teras kekal pada paras tinggi, memerlukan kenaikan OPR,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan dan bekas Menteri Kewangan, berkata keadaan itu telah menyebabkan sedikit kekeliruan kerana inflasi teras sebenarnya telah menyederhana kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 berbanding suku akhir pada 2022 sebanyak 4.2 peratus.

“Jika inflasi teras menjadi kebimbangan utama, mengapa terdapat dua jeda kadar faedah tanpa kenaikan OPR oleh BNM pada Januari dan Mac 2023, walaupun inflasi teras lebih tinggi pada 4.2 peratus pada suku akhir 2022 berbanding 3.9 peratus pada suku pertama 2023.

“BNM yang amat mengambil berat tentang inflasi keseluruhan dan teras sepatutnya segera menaikkan OPR pada Januari dan Mac 2023 apabila inflasi bagi suku akhir 2022 lebih tinggi dan tidak menunggu sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, walaupun BNM tidak menaikkan OPR pada Januari dan Mac tahun ini, kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras berjaya menurun masing-masing kepada 3.4 peratus dan 3.8 peratus pada Mac 2023.

“Ini menimbulkan persoalan terhadap rasional BNM menaikkan OPR secara mengejut pada 3 Mei lalu tanpa sebarang bukti inflasi yang meningkat semula.

“Tetapi sebaliknya ia menyebabkan kesusahan kewangan yang tidak perlu kepada peminjam, khususnya individu dan perusahaan kecil sederhana (PKS),” katanya. – Malaysiapost

Komen