BERITA palsu yang boleh membawa kepada unsur kebencian sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi akan disekat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching.
Menurutnya, KKD dalam usaha mempergiatkan kawalan berhubung tindakan menyekat gejala berita palsu terutamanya ketika tempoh PRN.
Beliau berkata, sebuah pasukan petugas khas telah diwujudkan sejak Disember lalu yang memfokuskan kepada mencegah penyebaran berita palsu serta ucapan berunsur kebencian terutamanya di media sosial.
Jelasnya, KKD sedar kempen PRN tidak lama lagi akan menyebabkan wujudnya lebih banyak berita palsu yang objektifnya menyebarkan salah faham serta kebencian kepada kalangan pembaca.
“Jadi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerja secara rapat untuk memantau ucapan-ucapan dalam sosial media bagi memastikan tindakan dapat diambil.
“Di sini juga saya ingin menggalakkan semua pembaca dan pengguna media sosial untuk ‘klik’ dengan bijak, pada masa sama selalu rajin menyemak fakta,” katanya ketika ditemui di Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu berkata, KKD akan mewujudkan pusat media di enam negeri yang akan mengadakan PRN bagi memudahkan wartawan membuat liputan dan menyampaikan berita secara sahih kepada umum.
“KKD ingin memastikan semasa PRN dijalankan semua kerja wartawan dapat berjalan secara lancar. Jabatan Penerangan akan pastikan bahawa enam negeri tersebut mempunyai pusat media yang didirikan.
“Untuk anggota-anggota media yang datang daripada luar negara dan sekiranya berminat melakukan liputan untuk PRN, mereka boleh memohon tag wartawan daripada Jabatan Penerangan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Malay Mail