Lebih baik kahwin ‘paksa’ berbanding bekerjasama dengan yang tidak setia – Dr Akmal
KETUA Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan tiada gunanya Umno dan Barisan Nasional (BN) ‘bercinta’ lama dengan parti tertentu sebaliknya dicurangi selepas setahun berkahwin.
Menurutnya, lebih baik ‘berkahwin’ dengan parti lain secara paksa dalam membentuk Kerajaan Perpaduan merangkumi pelbagai parti berbanding bekerjasama dengan mereka yang tidak setia.
“Ada orang kata kita kahwin paksa, tapi saya nak beritahu nenek ayah, ibu kita dulu nak kahwin tak kenal pun sama sendiri, apa guna kalau duduk bercinta 10 tahun tapi tahun pertama kahwin lelaki curang buat apa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Akmal dipercayai merujuk kepada kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Menurutnya, sudah sampai masanya parti-parti dalam kerajaan perpaduan melupakan permusuhan lama dan fokus kepada mencari persamaan dan berhenti bercakap soal extremis sepertimana diamalkan beberapa parti tertentu.
“Kita selalu cakap soal perbezaan, cakap soal ideologi tapi jarang cakap soal apakah persamaan antara kita, saya nak bagitahu pengalaman kita sebelum ini walaupun Ketua Pemuda PKR, Adam Adli dulu pernah turunkan bendera kita (Umno).
“Masa itu marahnya kita, kalau jumpa Adam Adli rasa anak siat-siat muka, tapi inilah kehebatan direncanakan Allah, bila kita bersama (dalam kerajaan perpaduan) hilang rasa marah bila jumpa Adam.
“Sampai masa orang muda kena tunjukkan gaya politik baharu, apa berlaku lepas-lepas sudah-sudahlah,” katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masa untuk pemimpin pemuda kerajaan perpaduan menunjukkan sejarah politik baharu.
Sementara itu, bagi menunjukkan semangat kerjasama dan perpaduan, beliau turut membuat permohonan secara terbuka kepada Amanah.
Permohonan maaf itu susulan kritikannya terhadap keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan dipimpin Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.
“Saya faham hari itu saya bangkang isu pelantikan GLC, untuk sahabat Amanah saya berbesar hati mohon maaf, saya nak beritahu kita tidak ada masalah kalau ada perbezaan, tapi mesti diuruskan dengan cara lebih baik,” katanya. – Malaysiapost