KERAJAAN Malaysia Madani bukan dikuasai DAP atau Ahli Parlimen bukan Islam.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang berkata, berdasarkan fakta telah secara automatik mematahkan hujah pihak pembangkang yang menuduh kerajaan didominasi oleh DAP susulan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kerajaan Malaysia Madani tetap dikuasai oleh majoriti Ahli Parlimen Melayu Islam.
“Jadi untuk patahkan hujah ada pihak hari ini mengatakan oleh kerana ada DAP dalam kerajaan, maka ia didominasikan oleh DAP. Biar fakta berbicara, kerajaan hari ini didukung oleh 148 Ahli Parlimen.
“Terdapat seramai 77 Ahli Parlimen Bumiputera Islam, 43 (Cina) dan India (12), maksudnya majoriti didukung oleh Melayu Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Nasional Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, politik pada hari ini bukanlah ‘zero sum game’ tetapi mesti menjalankan kerjasama dan persaingan bukanlah antara parti-parti dalam kerajaan sebaliknya Malaysia dengan dunia luar.
Pada masa sama, Anthony turut mengimbas peristiwa Parlimen tergantung beberapa hari selepas keputusan PRU15 pada November lalu.
Anthony mendedahkan, DAP telah memberikan mandat parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.
Jelasnya, mandat tersebut diberikan tanpa syarat bagi membentuk kerajaan baharu selepas tiada mana-mana parti mencapai majoriti mudah dalam PRU15.
Tegasnya, pembentukan kerajaan perpaduan menetapi Rukun Negara ialah kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Yang jelas semua parti mendukung prinsip Rukun Negara. Jadi kita bentuk Kerajaan Perpaduan dengan hasrat kembalikan kestabilan politik dan pertahankan kemajmukan,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa suatu hari beliau akan berucap di dalam Dewan Merdeka.
“Saya akui gugup sedikit hari ini sebab tidak pernah berucap di pentas ini. Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah banyak pengalaman, ini kembali ke gelanggang lama.
“Kita sama-sama mendukung Kerajaan Perpaduan kerana selepas merdeka kita ada kerajaan mewakili semua kaum dan agama, ini adalah asas pembentukan politik negara.
“Himpunan hari ini ada makna cukup besar bukan saja imbas kembali pembentukan negara tapi lebih-lebih lagi bagi saya dan rakan-rakan saya yakin ini melambangkan masa depan lebih cerah untuk Malaysia, suatu wawasan yang akan membawa negara ke arah lebih sejahtera dan cemerlang,” katanya. – Malaysiapost